Hartford :
Seorang lelaki berdepan dengan tuduhan mengugut isterinya selepas dia ‘menikam’
sebiji tembikai dan sengaja meninggalkannya di dapur untuk membolehkan si
isteri melihatnya.
Ketua Jabatan Polis Thomaston James
Campbell berkata, Carmine Cervellino, 49, dihadapkan ke mahkamah kelmarin atas
tuduhan mengugut dan juga salah laku.
Cervellino ditahan Sabtu lalu dan
dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak AS$500 (RM1,600) bon.
Menurut Campbell, rumah tangga
pasangan itu mula berantakan 4 Julai lalu apabila isteri Cervellino membuat
laporan polis setelah menemui pil dan ganja yang disembunyikan di dalam kotak
peralatan tukang milik suaminya.
Pasangan berkenaan dikatakan dalam
proses untuk bercerai ketika itu.
Wanita itu menganggap dirinya diancam
setelah pulang dari balai polis dan menemui tembikai berkenaan bersama-sama
pisau pemotong daging pada buah itu.
Sejurus selepas itu, Cervellino masuk
ke dapur dan tanpa berkata apa-apa, memotong tembikai itu.
“Kami menganggap perbuatan lelaki itu
sebagai sesuatu yang serius,” kata Campbell, semalam.
Cervellino akan dibicarakan 28 Ogos
depan.
No comments:
Post a Comment