Ketika melepasi usia sekolah menengah bawah, sekitar tingkatan tiga dan seterusnya, itulah masa paling menyeronokkan buat kebanyakan remaja kerana mereka akan melalui fasa baru dalam hidup iaitu mengenal cinta dengan lebih serius dan matang.
Macam-macam cerita kita dengar mengenai kebanyakan kawan di sekolah mengenai hubungan cinta mereka. Hinggalah ke zaman universiti dan kolej yang mana hubungan sesebuah cinta itu lebih mendalam hingga ke perancangan berumah tangga.
Namun, cinta itu tidak setiap masanya gembira dan indah. Malah, mengikut kajian yang pernah dijalankan majalah remaja tempatan pernah mengeluarkan statistik yang begitu ramai berdepan konflik diri, kemelut dalaman hingga tekanan berlanjutan selepas gagal dalam bercinta.
Ini kerana golongan remaja begitu fokus dalam bercinta. Mereka sanggup lakukan apa saja demi mencari kebahagiaan dan keseronokan bercinta. Tapi realitinya apabila putus dan gagal, mulalah berlaku pelbagai insiden mengerikan hingga cubaan membunuh diri.
Bukankah itu menakutkan? Justeru kenapa kamu yang tidak bercinta atau masih mencari erti cinta perlu rasa cemburu melihat kawan-kawan yang hangat bercinta sedangkan impaknya sudah pun kamu tahu.
Apa kata kita yang masih solo dan hidup sendirian ini menikmati sepenuhnya. Kalau kamu baru saja gagal dan ditinggalkan, jangan menangis tak henti. Tapi ubah gaya dan pendirian, apa kata kita optimis dengan ketiadaan jodoh dan mula melihat semuanya menarik.
Kalau rindu atau rasa ingin disayangi, carilah teman atau keluarga kerana mereka juga boleh menjadi pengganti kalau kamu bijak mengalihkan tumpuan. Masalahnya yang menjadi isu kepada golongan remaja adalah bagaimana pula untuk kita mengalih tumpuan?
Pertamanya, jangan ambil peduli. Sesiapa saja berhak memberikan pandangan negatif dan tidak bersetuju dengan tindakan kamu. Kebiasaannya, rakan karib atau ahli keluarga pasti tertanya-tanya mengapa kamu buat keputusan menjadi single.
Kamu perlu bersedia menghadapi semua tohmahan dan pandangan itu dan dengan itu kamu perlu tetap pada matlamat iaitu tidak bercinta lagi.
Keduanya, kamu perlu lebih fokus pada pergaulan. Menjadi single tidak bermaksud kamu harus hidup sunyi keseorangan. Apabila single, banyak waktu yang boleh diluangkan dan banyak perkara yang mungkin sebelum ini tidak berkesempatan, boleh dilakukan bila-bila masa.
Contohnya, sebelum ini kamu sering mengabaikan rakan kerana hanya pentingkan si dia. Tapi kali ini kamu mempunyai peluang untuk betulkan segala-galanya seperti sedia kala.
Cara ketiga, nikmati kebebasan sepenuhnya kerana sekarang kamu sudah pun mempunyai banyak waktu yang terluang dan tidak terkongkong pada si dia saja. Untuk membuang segala kenangan pahit itu, cuba hubungi rakan yang kamu selalu abaikan dan betulkan balik hubungan.
Dalam pada masa yang sama, ambil masa untuk rapatkan hubungan dengan ahli keluarga serta cuba lakukan hobi yang menjadi minat kamu selama ini.
Keempat pula, hargai keseronokan yang ada kerana ketika bercinta, banyak perkara yang perlu dititikberatkan dan perlu persetujuan bersama. Contohnya, kamu harus komited pada pasangan dan perlu akur pada sesetengah peraturan yang dipersetujui.
Apabila hidup sudah single, kamu bebas melakukan apa saja yang dilarang oleh pasangan. Mungkin perkara itu positif tapi tidak dibenarkan oleh pasangan. Justeru semua itu bebas dilakukan dan yang paling penting kamu tidak perlu lagi akur pada peraturan dan bebas berbuat apa saja.
Terakhir, kita perlu buat perkara lagi penting. Hidup menjadi single memberikan kamu banyak peluang untuk lakukan apa saja yang menjadi minat. Contohnya, kamu boleh menjadi seorang yang bekerja sepenuh masa tanpa perlu risau akan orang lain yang sering menjadi penghalang.
Perlu faham juga bahawa kamu tidak terikat dan terkongkong lagi dengan pasangan sebaliknya kamu boleh fokus pada pelaburan ataupun mengumpul wang bagi tujuan perkahwinan.
No comments:
Post a Comment