Sesungguhnya, kesempatan bertemu lagi
Ramadan tahun ini harus disyukuri kerana ia antara nikmat besar untuk setiap
umat Islam.
Seperti kita sedia
maklum, Ramadan adalah bulan ‘bonus’ yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya.
Pada bulan ini, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran hebat seperti gandaan
pahala berlipat kali ganda bagi setiap amalan, medan untuk meningkatkan rasa
ketakwaan dan peluang terbaik untuk menebus dosa lalu yang membebankan hidup
kita selama ini.
Tidak semua hamba-Nya dipilih untuk bertemu Ramadan kali ini. Ada yang meninggal dunia sebulan, seminggu malah sehari sebelum menjelangnya Ramadan.
Tidak semua hamba-Nya dipilih untuk bertemu Ramadan kali ini. Ada yang meninggal dunia sebulan, seminggu malah sehari sebelum menjelangnya Ramadan.
Ada juga yang bertemu Ramadan tetapi tidak dapat merasai kehangatan bulan itu akibat keuzuran dan sebagainya.
Oleh itu, sesiapa yang tidak terasa apa-apa dengan hadirnya Ramadan kali ini sebenarnya antara yang sangat rugi kerana jika tidak terasa apa-apa, pasti hatinya tidak terdorong dan teruja untuk melakukan amal ibadah pada bulan mulia ini.
Tidak dapat dinafikan, Ramadan sebenarnya mempunyai aura tersendiri yang tiada pada bulan lain. Ada yang kebiasaannya tidak menutup aurat tetapi menutup aurat pada bulan ini. Yang bekerja sebagai penghibur pula mengurangkan aktiviti mereka pada bulan ini kerana menghormati Ramadan.
Masjid dan surau pasti menjadi tumpuan untuk umat Islam menunaikan ibadah, terutama solat sunat Tarawih dan qiamullail.
Bagi sesetengah orang pula, Ramadan menjadikan mereka ‘peka’ dengan waktu solat, terutama Subuh dan Maghrib. Begitulah hebatnya aura Ramadan bagi umat Islam.
Namun, Ramadan juga bakal mengundang ‘aura’ negatif jika kita menyambutnya dengan telunjuk hawa nafsu. Antaranya, Ramadan yang sepatutnya mengajar kita berjimat cermat sebaliknya menjadi bulan untuk kita boros.
Apabila datang ke bazar Ramadan, ada yang membeli makanan lebih daripada diperlukan dan seterusnya menyebabkan pembaziran.
Tidak kurang juga yang menganggap Ramadan adalah bulan untuk ‘enjoy sakan’ membeli persiapan hari raya hinggakan tidak tahu yang mana keperluan dan yang mana pembaziran.
Ramadan almubarak tahun ini juga pasti lebih mencabar daripada tahun sebelumnya akibat cuaca panas di negara kita sekarang.
Bukan saja terpaksa menahan kepanasan secara fizikal, panas cuaca juga mudah mengundang rasa ‘panas’ terhadap nafsu amarah kita.
Dalam keadaan panas, ditambah rasa dahaga dan lapar, ia benar-benar menguji kesabaran kita ketika berdepan situasi kurang menyenangkan.
Begitu juga ‘panasnya’ hawa nafsu kita, terutama golongan Adam yang terpaksa berjuang menundukkan hawa nafsu daripada melihat pelbagai fesyen menjolok mata sempena musim panas ini.
Bagi suri rumah dan wanita pula, rasa ‘panas’ hawa nafsu mungkin teruji dengan pelbagai tawaran diskaun dan jualan murah di pasar raya dan bazar Ramadan.
Kerana itu ulama terdahulu menggelar Ramadan sebagai madrasah (tempat belajar) bagi umat Islam. Belajar bagaimana menundukkan hawa nafsu dan meningkatkan amalan untuk menjadi orang lebih baik serta bertakwa darjatnya di sisi Allah.
Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang yang lebih bertakwa.”
Alangkah ruginya jika kita tergolong dalam kalangan orang yang tidak mendapat manfaat daripada kedatangan Ramadan.
Lebih rugi lagi bagi mereka yang apabila hadirnya Ramadan, langsung menghancurkan amalan dengan pelbagai dosa dan kemaksiatan.
No comments:
Post a Comment