Hari Jumaat
ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat
umat Muhammad SAW. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan
memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari
Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan
tasbih serta memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana
pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada
hari Jumaat
Amalan
Sunat Hari Jumaat
Pada subuh
hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang
berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi
yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong
kuku dan menggosok gigi.
Sesudah
itu bersegeralah ke masjid.. Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke
dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia
sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua
berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah
dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu
keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang
masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka
apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena
oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"
Kemudian
apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf
itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang
lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang sembahyang.
Solat
Sunat dan Bacaan Surah Pilihan
Kerjakanlah
sembahyang tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan
sembahyang itu empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan
bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali.
Dalam sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang mengerjakan
sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga"
Jangan
tinggalkan sembahyang tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di
Dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat
rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin. Jika tidak
mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah
atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu pada
malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.
Manakala
pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan
selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat
dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya..
Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum
berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan
An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).
Hal itu
dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan
datang dan memeliharanya dari syaitan.
Kemudian
beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah
memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.
No comments:
Post a Comment