Cikit-cikit

Thursday, June 26, 2014

‘Cool’ tapi selekeh


Nampak saja luarannya yang ‘macho’ dan ‘stylo’, namun apabila diteliti daripada segi disiplin dan kebersihan diri, sesetengah golongan Adam ini kurang peka pada kebersihan. Ada juga yang tidak bertanggungjawab dan suka lepas tangan.

Pemakaian tampak ‘style’ dengan fesyen terkini ditambah lagi dengan pemakaian kaca mata hitam yang menjadi pelengkap gaya, namun lelaki jenis ini mungkin kelihatan ‘cool’, tapi hakikatnya tidak pandai menjaga kebersihan. Pandangan luaran mungkin elok di mata orang, tapi apabila dinilai daripada aspek kebersihan, memang K.O!
Kalau nak dilihat dari segi penampilan, memang semua tampak sempurna kerana fesyen menarik yang digayakan ditambah lagi dengan wangian di badan yang boleh menarik pelbagai golongan wanita. Namun pasti ramai tertanya-tanya mengapa golongan Adam ini kurang menjaga kebersihan apabila berada di rumah dan tidak kurang juga mereka yang jarang sekali mandi.

Ramai orang mengatakan rupa yang menawan disamakan dengan disiplin yang bagus. Kenyataan ini sebenarnya salah kerana hakikatnya tidak semua lelaki ‘macho’ berdisiplin dan mementingkan kebersihan lebih-lebih lagi jika seorang lelaki itu tinggal di rumah ‘bujang’.

Isu selekeh sering kali timbul dalam kalangan mereka yang tinggal serumah disebabkan diri sendiri yang malas dan enggan bekerjasama. Sebenarnya masalah ini boleh dilihat dengan skop yang lebih meluas jika diperhatikan daripada punca dan gaya hidup yang diamalkan oleh sesetengah golongan Adam ini.

Apa saja alasan, ia bukan saja menyusahkan orang lain, tapi juga merosakkan imej mereka secara keseluruhan. Benar juga kata orang, kalau rupa saja elok, tapi diri sendiri pengotor, malu jadinya!


Tidak pandai berdikari

Bagi mereka yang tinggal bersama di bawah satu bumbung, memang isu ini amat panas sekali diperdebatkan oleh anak muda. Mana tidaknya, penampilan cukup sempurna sehingga ramai sekali wanita ‘cair’, namun bila dilihat keadaan di rumahnya boleh disamakan dengan ‘tongkang pecah’. 

Cukup bersepah dan tidak kemas sehingga ramai orang meluat. Bukan itu saja, kebanyakan golongan lelaki jenis ini rata-ratanya pemalas. Contohnya boleh dilihat daripada segi disiplin mereka ketika mengemas. Sudahlah bilik kotor dipenuhi sampah yang tidak dibuang ke tempat sepatutnya, ditambah lagi dengan baju yang tidak dilipat kerana terlalu malas untuk berbuat sesuatu. 

Kalau keluar untuk berjumpa kekasih hati, bukan main cepat sekali ‘dress up’ dengan pakaian mahal dan minyak wangi berjenama. Sifat malas itu juga berpunca daripada corak kehidupan lelaki yang selalu dimanjakan oleh ibu bapa. Bagi mereka yang mempunyai gelaran anak bongsu, pasti kerap kali dimanjakan dan tidak ada inisiatif untuk belajar berbuat sesuatu dengan usaha sendiri. 

Daripada segi pakaian, kebersihan bilik dan sebagainya pasti dilepaskan tanggungjawab itu di bahu orang lain. Justeru, perangai manja itu ‘melekat’ di hati sehingga menjadi norma dalam kehidupan. Isu ini juga sering ditimbulkan dalam kalangan pelajar kolej yang tinggal serumah. 

Kelakuan teman sebilik yang malas dan enggan berdikari biasa diketengahkan. Selain itu, mereka ini juga seorang pengotor dan hanya menitikberatkan kebersihan apabila berjumpa dengan buah hati saja. Contohnya boleh dilihat apabila stokin tidak dibasuh dan baju dipakai kerap kali hingga menimbulkan bau kurang menyenangkan.


Badan berbau

Tidak hanya bersandarkan sifat malas, kebanyakan lelaki yang tampak ‘cool’ di luaran ini juga ada yang selalu mengabaikan aspek kebersihan terutamanya di bahagian badan. Imej yang ‘macho’ dan kacak pastinya dicacatkan oleh bau badan yang kurang menyenangkan.

Realitinya, bukan semua bertindak menjaga kebersihan. Ini boleh dilihat apabila mereka selalu mengabaikan kitaran mandi yang cukup. Kelakuan ini sangat popular di negara Eropah, namun di sini juga tidak kurang ‘sambutannya’. Bagi mereka yang pengotor, cukuplah hanya sekadar mandi sekali sehari atau hanya sekali setiap tiga hari.

Walaupun mereka sudah biasa hidu ‘bau’ badan sendiri, orang sekeliling pasti merasa tempiasnya. Hakikatnya, ramai yang enggan berdamping dengan mereka yang mempunyai masalah bau badan. Bukan itu saja, remaja sebegini juga jarang menggunakan produk kebersihan seperti ‘shampoo’, sabun dan sebagainya. 

Bagi mereka, cukup dengan sekadar air mengalir di badan pun sudah tampak ‘bersih’. Lebih teruk lagi, mereka yang gemar bersukan tidak segera mandi apabila selesai beriadah. Ini bukan saja menimbulkan bau kurang menyenangkan akibat peluh tapi juga memudaratkan kesihatan mereka juga kerana badan dipenuhi bakteria yang tidak baik.

Selain itu, isu badan berbau ini juga boleh dikaitkan dengan nafas berbau. Tidak hanya berlaku pada wanita, ia juga menjangkiti golongan Adam. Penampilan yang sudah sempurna pasti cacat apabila nafas berbau kurang menyenangkan. 

Ada juga yang mengambil langkah mudah seperti mengambil gula-gula perisa ‘menthol’ untuk nafas segar. Sikap ini sebenarnya menunjukkan seseorang lelaki itu kurang peka pada aspek kebersihan.


Ubah demi keselesaan

Cukuplah dengan berbagai tohmahan yang dilemparkan, sudah sampai masanya untuk mengubah perspektif orang terhadap anda dan memperbaiki imej yang sudah ‘rosak’. 

Walaupun diri sendiri malas untuk menjaga kebersihan dan menjadi lebih berdisiplin, lambat-laun ia perlu diterapkan juga dalam diri kerana perangai yang tidak senonoh ini akan menyebabkan orang lain menjauhi anda.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah didik diri menjadi lebih berdisiplin dan bersikap bertanggungjawab. Kalau sudah hari-hari melihat bilik yang bersepah dengan buku dan sampah yang berselerak, penulis yakin anda sendiri ‘sakit mata’ melihat suasana itu, namun disebabkan sikap malas yang meracuni diri, tetap enggan untuk mengemas. 

Buang sikap malas itu dan belajar bekerjasama dengan teman sebilik untuk memastikan rumah sentiasa kemas dan tidak bersepah seperti ‘sarang tikus’.

Kedua, belajar untuk berbuat sesuatu dengan usaha sendiri iaitu berhenti mengharapkan bantuan orang lain. Jika sebelum ini asyik menyuruh orang lain membasuh pakaian dan membeli makanan, apa kata jadikan itu sebagai tugas anda pula. 

Bukan saja memudahkan orang lain, tapi untuk menunjukkan anda seorang yang bertanggungjawab dan matang dalam menguruskan sesuatu.

Ketiga, harus kerap menjaga kebersihan di mata sesiapa saja. Kalau diri sendiri sudah lengkap berfesyen, tapi kantoi badan berbau di hadapan kekasih, pasti malu jadinya. Oleh itu, amalkan untuk mandi dengan kerap dan sentiasa cuba untuk menjaga kebersihan dengan menggunakan produk kebersihan seperti sabun dan jangan lupa memberus gigi. 

Tubuh yang bersih pasti meningkatkan keyakinan diri untuk bergaya.
Akhir sekali, tanamkan sikap motivasi dalam diri. Motivasi pada diri adalah penting untuk memastikan anda terus melakukan usaha murni di atas tanpa mengulangi kesalahan sama. Kalau berubah hanya sekadar seketika, bukankah ia hanya merugikan diri sendiri. 

Ingat, setiap orang tidak gemar berdamping dengan lelaki pengotor biarpun anda seorang yang ‘jambu’ dan ‘macho’ sekalipun.


No comments:

Post a Comment